Manusia. Kita pun ada masa naik dan turun iman kita. Sebab tu, bila kita tengok budak budak huffaz, alim warak pun ada masa dia jatuh dalam perjuangan dakwah dia sebagai daie. Sebab memang fitrah iman manusia itu naik dan turun.
Lagi lagi kalau yang memang jenis terpelihara dengan pelbagai suntikan tarbiah dan makanan rohani. Sebab syaitan yang mengekori mereka ketika itu, bukan lagi syaitan jenis tahap biasa macam budak lain. Budak biasa. Nama pun 'terpelihara'.
Dan atas sebab itu juga, ada yang mengambil keputusan untuk menjual ayat allah. Ayat ayat allah diperniagakan seolah tanpa nilai. Sebab itu ada antara mereka yang kadang kadang tersasar daripada jalan haq dek kerana satu suntikan hasutan.
Tapi walau macam mana sekali pun kita, apa yang membezakan kita adalah taubat. Jika kita tak mampu menyaingi para salihin dalam ibadah mereka, maka saingilah para pendosa yang sentiasa beristighfar untuk mohon taubat kepada Dia
Ada masa memang kita futur. Hakikat sebenar punca futur selepas bermujahadah adalah berpunca daripada titik permulaan yang kurang baik. Ada masa kita jatuh tergolek sampai syaitan pun terkinja kinja bahagia. Tapi menjadi tanggungjawab kita untuk cari balik iman itu. Untuk cari balik hidayah dan halawatul iman itu.
Jangan putus asa. Jangan berhenti di pertengahan jalan. Jangan leka. Sesungguhnya Allah melihat kita. Jika satu per satu nikmat yang diberi, dan kita masih terus dalam kekufuran, maka ketahuilah, hakikat sebenar ianya adalah istidraj. Bukan nikmat. Bangkitlah dan sedarlah. Berapa banyak istidraj yang telah kita terima dengan bahagianya? Tanpa segan silu dan maruah. Murahnya dan rapuhnya iman kita.
Kadang kadang, ada satu masa, bila kita hadapi kesusahan, kepayahan, hadapi peperiksaan, baru kita kenal allah. Bergunung ibadah kita buat untuk minta daripada Dia. Lepas settle semua tu, walaupun belum keluar keputusannya, semua petunjuk itu hilang dan kejahilan mula naik tocang. Dari mana asal usul kita sebenarnya? Apa usaha kita untuk manifestasikan cinta hakiki pada Dia? Manifestasi Cinta yang palsu hakikatnya
Walaupun begitu, Dia tetap menjaga kita. Pelihara kita. Jika difikir logik, berapa kali dah kita ni sebenarnya patut tidak berada di tempat kita sekarang? Duhai hamba, bangkitlah. Sesungguhnya Allah itu Maha menerima taubat. Dia tahu hamba Dia lemah. Sebab tu, Dia sentiasa buka pintu taubat untuk hamba Dia. Sebab Dia tahu, ada masa kita tersungkur. Maka bergagahlah kembali untuk merentasi halangan sungai kejahilan dan kekecewaan ini sekali lagi.
Jika SYAITAN tidak pernah berputus asa dalam menyesatkan kita, dan ALLAH tidak pernah berputus asa dalam menerima taubat kita, maka mengapa perlu kita berputus asa untuk mencari Dia?
Duhai Hati. Tabahlah. Kuatlah. Demi UMMAH yang kian nazak pada hari ini.