“Kenapa dah tak banyak menyentap?”
Jika dan hanya
jika kau tahu, dan faham Bahasa Melayu yang sebenar, sentap itu ialah cara kau
menerima benda itu. Tetapi, aku tak nafikan sentapan-sentapan yang disengajakan
dengan niat untuk tusuk orang dan jatuhkan orang (dan ini ialah medan dakwah
yang gagal sebenarnya bagi aku). Tapi untuk kau yang menerima, aku boleh kata,
kau sentap, itu hati kau. Hati kau yang masih punya iman, jiwa kau yang masih
hidup. Tak kira tazkirah dan ilmu itu datang dalam bentuk apa. Lembut atau kasar.
Aku kurang
menyentap kerana sekarang aku lebih suka menghulur daripada mencampak. Diskusi
malam ini buatkan hati aku tergerak untuk sampaikan apa yang hati aku pendam
selama ini. Iman itu bukan diukur melalui sentapan demi sentapan yang kau campak.
Ianya bukan soal kopiah, jilbab labuh atau niqab. Hanya kerana kau yang
berkopiah yang tunjuk aib kau pada masyarakat, hanya kerana selfie kau yang
merata-rata tetapi berniqab, manusia lain yang perangai tak seperti kau
terpaksa tanggung kutukan dan tohmahan orang lain. Niqab yang selama ini
Muslimat pakai untuk menutup, untuk elak tarik perhatian orang itu yang menarik
mata dan jiwa.
Oh ya, soal
niqab, aku ulas sedikit. Ianya bukanlah pemakaian yang wajib bagi muslimat (aku
yakin kau juga tahu, aurat wanita kesemua tubuh kecuali muka dan tapak tangan).
Dalam konteks ketamadunan Islam, Islam menerima mana-mana hal, budaya dan
tradisi selagi mana ianya tidak menyimpang dan bercanggah dengan syariat. Kemunculan
niqab dan burqa’ adalah ketika berlakunya penghijrahan Rasululullah dan para
sahabat dan ketika itu, ianya diterima dalam tamadun Islam. (Tiba-tiba rasa
subjek agama CTU 151 aku di kampus, berguna bukan soal ilmu atas buku semata).
Maka soal
niqab dan burqa’ nyatanya sekali lagi buat aku bingung. Melayu Islam sahajakah
yang begini? Malaysia sahajakah yang begini hingga kadang-kadang aku rasa ingin
mencari Islam itu di negara lain. Iya, 4 tahun lebih aku dalam kelompok
golongan huffaz. Setahun dengan golongan bukan huffaz, cukup membuka mata aku.
Bagaimana seorang yang alim, rajin ke masjid, rajin turun usrah, tapi nyatanya
kutuk kau di belakang, buat liqa’ untuk umpatan demi umpatan, hukum kau itu
ini, buta untuk 99 kebaikan kau tapi canang 1 keburukan kau. Akhirnya, cari silap
yang lain pula, tak masuk tokok-tambah perasa cerita biar nampak gempak. Aku
nampak bezanya.
Teramat berbeza
dengan mereka yang di luar. Bilamana orang di luar sana, nampak orang lain
khilaf sekejap, buat masalah sikit, mereka pimpin. Mereka capai tangan dan mereka
pimpin. Mereka bagitahu itu ini salah. Kenapa itu ini salah. Jangan buat lagi
yang salah itu. Kelu. Mana satu Islam sebenar bila mereka sedang leka menghukum
sedangkan masyarakat di luar bersungguh menunjukkan contoh-contoh tauladan agar
menjadi ibrah (contoh) untuk orang lain. Sekali lagi, aku bingung.
Untuk soalan
kenapa aku tak memilih jalan sentapan. Aku tak nafikan usaha mereka itu
merupakan kaedah dan jalan yang relevan dan efektif. Tapi itu bukan
lagi jalan aku. Bukan kerana aku berubah drastik. Ah, aku tahu, kau lihat aku
bagaimana. Bukan kerana aku sekular, bukan kerana aku liberal. Tapi, diskusi
malam ini, aku konklusikan sebagai satu kesyukuran. Bilamana aku sedar aku
keluar dari kelompok yang konon Islamik, yang banyak hukum orang lain tanpa
percaya kebarangkalian untuk seorang yang jahil menjadi lebih suci dan warak
untuk masa akan datang itu tinggi, aku bahagia. Kami bahagia.
Aku nampak
Islam dan dunia itu dari sudut pandangan yang berbeza. Aku terima semua orang
seadanya. Aku mula faham, tak semua orang datang dari keluarga Sheikh, Syed,
ustaz, ustazah, Ustazah Limah kelas mengaji, Haji Hashim kelas tarannum ataupun
Pakcik Lebai bilal surau kampung tercinta. Dan atas perbezaan latar belakang
itulah perlu saling ingat, saling sokong dan saling pimpin kawan kau supaya dia
boleh pimpin keluarganya. Bukannya untuk saling jatuhkan. Bukan untuk saling bertanding siapa lagi
power menyentap (yang sebenarnya siapa yang lagi power menjatuhkan). Aku percaya,
kau pun tahu bagaimana kitaran sekadar sentap tapi tak terdorong bukan? Ah,
jangan cuba nafikan.
Oh ya, satu
lagi, kalau kau dakwah, kau menyentap, tapi orang tak terima. Kadang-kadang
bukan sebab hati orang lain keras. Betulkan niat kau dan baiki diri kau
kemudian tengok, orang boleh terima atau tidak. Ini adalah yang paling sukar
untuk aku sebenarnya sebab aku sangat percaya, definisi dakwah bukan untuk
menghukum, tapi untuk buka mata orang lain dan mengajak setelah menyeru
(dakwah). Mad’u (yang didakwah) dapat point atau tidak. Aku bukan hamba yang
sempurna dan mungkin sewaktu aku tulis ini juga aku khilaf. Ada buruk cacat
celanya. Tetapi, aku juga hamba yang sedang berusaha. Berusaha mengirim cinta Dia
melalui utusan-utusan kecil di laman sosial dengan harapan andai aku dah tak
punya nyawa, masih ada yang mampu membaca dan menerima ilmu-ilmu menerusi
cacatan kecil itu. Bukan kerana aku alim atau warak. Paling kurang, aku usaha
setelah aku ucapkan dua kalimah syahadah itu.
” Jika hijrah buat kau merasa tinggi daripada orang
lain, hukum sana-sini. Semak balik. Kau sembah Allah atau ego kau. Tak apa je
kalau kau pandang syurga sebelah kau, tiada siapa peduli. Cumanya orang akan
peduli, jika kau pandang orang yang belakang seolah-olah mereka neraka. Bukanlah
salah penghijrahan kau. Tapi barangkali niat mujahadah kau menyimpang.”
Moga Allah redha.