Sunday, November 6, 2016

Contoh Karangan SPM : Faedah Membaca

Bismillahirrhamanirrahim.
So, this is for you girls, my dear juniors who asked this even ya, I post this tonight and you will have the exam tomorrow. Hahaha. Dah setahun tinggalkan SPM dan terpaksa buka semula fail lama. Adeh. By the way, this essay is from my trial, last year. Yap. Terengganu. And I swear, it's very confusing me with the question yang berbelit and I take a lot of time to think about it either the question ask for The Benefit of Reading or Steps to Make Sure this society love to read. However, alhamdulillah. I did it. Panjang? Prinsip saya, bila kamu nak sesuatu yang power gigantic, by all ways mean, macam markah yang tinggi, you've to work harder. So, if there's any typo, sorry since I typed it tonight dengan susah payahnya, kelam kabutnya. Hahaha. Sengaja. Nak timbulkan perasaan bersalah tu. Haha. Okey, sis gurau. Best wishes and good luck for your examination. Tenenenene.


*          *          *          *          *          *

FAEDAH MEMBACA
OLEH : SAYIDAH MUSFIRAH KAMARUL SHUKRI
06 NOVEMBER 2016

                Pada era globalisasi kini, budaya membaca merupakan satu amalan yang signifikan bagi mencapai kecemerlangan dengan jayanya. Saban tahun, lautan pengunjung dan generasi ulat buku mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dan bilangannya semakin meningkat dari tahun ke tahun. Melihat aspek ini dari sudut positif, realitinya hal ini memajukan lagi industri dan pasaran buku di Malaysia sekali gus menjadi momentum penting bagi negara untuk mencapai tahap literasi yang tinggi di Malaysia. Menurut kajian, Malaysia merupakan sebuah negara yang mencapai tahap literasi yang tertinggi berbanding negara–negara Asia Tenggara yang lain dan hal ini sudah tentunya meletakkan Malaysia di posisi yang membanggakan. Namun begitu masih ada golongan yang muflis intelek, menganggap bahawa budaya membaca merupakan satu amalan yang konservatif. Justeru, penulis terpanggil untuk membedah siasat dan mencungkil kepentingan budaya membaca ini, yang sudah pastinya melahirkan generasi yang berjaya seterusnya merealisasikan Wawasan 2020 yang diimpikan oleh kerajaan dan seluruh rakyatnya.
               
              Antara hujah yang mampu membuktikan keberkesanan amalan membaca dalam melahirkan masyarakat cemerlang termasuklah, budaya ini sememangnya mampu menambah informasi dan pengetahuan kepada seseorang individu. Hal ini jelas dibuktikan melalui tulisan-tulisan melalui rubrik-rubrik akhbar dan buku-buku ilmiah yang sudah pastinya memberikan informasi yang bersifat kontemporari. Misalnya, buku yang berjudul #Henshin, hasil nukilan Aimaan Banna telah berjaya menarik minat pembaca apabila menjadi salah satu bahan bacaan ‘best seller’ dek kerana 25 000 naskah yang berjaya dijual hanya dalam masa sebulan. Sekadar makluman, Henshin merupakan satu bahan bacaan yang memberi panduan kepada masyarakat untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik dengan cara-cara yang efektif. Maka secara tidak langsung, buku ini akan membantu masyarakat seterusnya mengeluarkan masyarakat daripada kepompong persis mengeluarkan masyarakat daripada golongan seperti katak di bawah tempurung. Amalan membaca juga mampu memberi informasi terkini mengenai kejadian yang berlaku di dalam atau luar negara. Sebagai contoh, informasi mengenai tragedi kehilangan pesawat MH370 dan MH17 yang menyayat hati pembaca dapat diketahui dengan lebih lanjut melalui pembacaan. Maka, jelaslah bahawa amalan membaca mampu menambah pengetahuan seseorang dalam sesuatu perkara.
              
              Dalam pada itu, budaya membaca turut memberi impak positif kepada pembaca dengan membantu seseorang individu untuk menambah perbendaharaan kata. Dalam aspek ini, jika tinjau apabila seseorang itu membaca, dia mampu menemui perkataan-perkataan baharu dan ideal untuk menghasilkan hasil penulisan yang berkualiti. Misalnya, apabila seseorang individu membaca mengenai perihal kesusasteraan, dia mampu menemui kalimah-kalimah bombastik dan arkaik dalam bidang kesusasteraan seperti ‘radif’ dan ‘fatalis’. Maka hal ini secara tidak langsung turut mampu menjayakan usaha murni kerajaan dalam menjayakan dasar “Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris” atau lebih dikenali sebagai MBMMBI dalam aspek pendidikan. Tanpa disedari, hal ini turut mampu meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara maju yang lain ibarat kata mutiara, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi setanding dengan negara yang terkenal dengan aspek kemajuan bahasa. Sesungguhnya, amalan membaca ini mampu membantu seseorang individu bagi memahami bahan bacaan yang lebih tinggi tahapnya daripada bahan bacaan sebelumnya dengan penambahan perbendaharaan kata.
                
              Selain itu, dalam mencapai kejayaan yang terbilang, membaca juga amat diperlukan bagi mencapai kejayaan dalam peperiksaan. Pada era globalisasi kini, amalan membaca merupakan satu keutamaan kepada pelajar untuk menjawab soalan-soalan yang mencabar minda apatah lagi sejak kemunculan soalan yang berorientasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Jika budaya ini tidak dipupuk dari awal, bagaimanakah seseorang itu mampu menjawab soalan-soalan yang memerlukan pembacaan yang maksimum dan fakta yang kukuh seperti dalam subjek Sejarah dan Biologi. Secara eksplisit, budaya membaca hakikatnya membantu seseorang pelajar bagi menghafal fakta dan informasi-informasi penting. Tidak dinafikan, masih ramai lagi pelajar-pelajar yang berat tulang untuk membaca dan lebih gemar untuk membuang masa dengan telefon-telefon pintar dan komputer riba terutamanya di hutan konkrit yang serba canggih ini. Namun, kita harus sedar bahawa nak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Hakikatnya, budaya membaca sepatutnya bukan menjadi satu pilihan atau kehendak tetapi merupakan satu kewajipan. Jika tidak, maka akan wujudlah generasi yang muflis intelek sedangkan setiap pelajar merupakan perintis yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang. Justeru, jelaslah bahawa budaya membaca mampu membantu seseorang mencapai kejayaan yang hakiki.
                
              Di samping itu, budaya membaca turut mampu meletakkan negara sebagai sebuah negara yang terkenal di seantero dunia sekali gus memajukan negara. Perlu diingat, kecemerlangan sesebuah negara bukanlah diukur dari sudut pembangunan fizikal semata bahkan kejituan rohani yang mapan. Suatu ketika dahulu, Kota Baghdad merupakan sebuah negara yang terkenal dengan penulisan dan penterjemahan ilmu dari seantero dunia yang digapai melalui budaya membaca. Nah, bukti bahawa budaya membaca sememangnya mampu meletakkan negara di persada dunia. Sekadar makluman, mengikut perangkaan Jabatan Statistik Negara pada tahun 2008, rakyat di negara kita sebenarnya hanya membaca dengan kadar purata lapan hingga 12 buku setahun sedangkan indikator sebuah negara maju menuntut rakyatnya membaca sebanyak 20 buku setahun. Secara analoginya, negara matahari terbit yang terkenal dengan kemajuan lahiriah serta pembangunan yang pesat telah berjaya melepasi tahap ini apabila rakyatnya membaca sebanyak 40 buah buku setahun. Selain itu, menurut Pusat Kajian Pew, rakyat di Amerika Syarikat pula telah membaca dalam kadar purata lebih 17 buah buku setahun. Maka, tidak hairanlah jika negara mereka mampu menempa nama di mata dunia. Oleh hal yang demikian, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia telah berusaha sedaya upaya bagi melestarikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat dengan mewujudkan Dasar Buku Negara yang bermatlamat untuk melahirkan golongan yang berilmu dan bermaklumat. Sudah terang lagi bersuluh, budaya membaca mampu meletakkan negara kita bukan sahaja di posisi membanggakan  bahkan di posisi negara terbilang seterusnya melahirkan golongan muda yang berideologi dan berfikiran kritis.
                
              Selanjutnya, amalan membaca turut mampu mengisi masa lapang seseorang. Misalnya, seseorang individu mampu memanfaatkan masanya dengan membaca buku-buku ilmiah dan menenangkan minda atau memberi motivasi membangun kepada seseorang. Tidak dapat dinafikan, budaya ini sememangnya lebih menguntungkan seseorang individu daripada membazir masa dengan membuat onar di atas jalan raya yang hanya merencatkan usaha kerajaan untuk lebih maju. Ibarat kata mutiara, masa itu ibarat emas, kita seharusnya membaca bahan bacaan yang bersifat positif dan menyumbang ke arah pembinaan jasmani dan rohani. Tidak salah membaca sesuatu yang berbentuk hiburan, dengan syarat bahan bacaan tersebut perlulah ditapis terlebih dahulu. Namun begitu, perkara yang membimbangkan penulis adalah apabila melihat keadaan perpustakaan yang lengang setelah tamatnya musim peperiksaan. Kita seharusnya sedar bahawa budaya membaca sebenarnya bukan melibatkan peperiksaan semata-mata yang diintegrasikan dengan niat mengejar aksara A dalam peperiksaan kemudiannya dibanggakan. Masa lapang seharusnya diisi dengan perkara yang berfaedah seperti membaca yang mampu menumpaskan amalan yang tidak berfaedah. Akhirnya, akan lebih ramailah individu yang memasuki universiti berbanding pusat serenti, seterusnya akan lebih ramailah manusia yang menjadi khalifah berbanding sampah serta pastinya akan lebih ramai generasi kita yang menjadi pejuang dan bukannya petualang. Tuntasnya, budaya membaca sememangnya mampu mengisi masa lapang dengan lebih berfaedah.
             
              Deduksinya, dalam mencapai kejayaan yang hakiki, amalan membaca seharusnya menjadi amalan masyarakat kita. Perlu penulis ingatkan, bahawa kita masih belum mampu melahirkan umat berjaya jika umat kita pada hari ini hanya membaca untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang semata-mata. Selain itu, umat kita belum mencapai tahap pembacaan yang bersifat holistik apabila bahan bacaan kita masih hanya berkait dengan bidang yang kita ceburi sahaja kerana tidak merentasi disiplin ilmu yang hakiki. Seeloknya, budaya membaca ini menjadi amalan kita tidak kira dalam apa jua situasi selaras dengan matlamat pembelajaran sepanjang hayat. Usaha murni kerajaan dalam memartabatkan amalan membaca seharusnya disokong 100%. Sesungguhnya, bangsa membaca ialah bangsa yang berjaya kerana ibarat kata Barbara Tuchman, seorang penulis dari Amerika Syarikat, “Buku ialah pengusung peradaban. Tanpa buku, sejarah menjadi sunyi, sastera menjadi bisu, ilmu pengetahuan lumpuh dan fikiran menjadi kaku.” Justeru, ayuh kita bersama mendarahdagingkan amalan ini dalam diri kita sendiri serta masyarakat sekeliling bagi menjamin masa depan yang cemerlang dan gemilang seterusnya melahirkan umat yang berfikiran kelas pertama dan bersikap positif.

Nota kaki:
Karangan ditulis pada tahun 2015. Penulis tidak bertanggungjawab terhadap sebarang perubahan format peperiksaan. Sebarang kesalahan tatabahasa boleh ditegur menerusi komen. Sila gunakan saluran yang tepat dan beradab sopan  (takkan Melayu hilang di dunia. Acecece..) sekali gus bersama penjelasan. Terima kasih :)

Thursday, November 3, 2016

World is totally hard

Kadang-kadang kita berusaha sekuat mungkin untuk lupakan sesuatu yang hantui kita dari masa silam. Kita cuba elak. Ya, orang lain takkan tahu bagaimana sakit, perit, pedihnya kita untuk lalui masa-masa silam dan nazak itu sehingga kita mampu sampai ke tahap ini. Penat. Lebih penat bila kita usaha lupakan, dan kita diingatkan lagi melalui orang sekeliling. Iya, mereka tak rasa. Bagaimana bertahun-tahun kita tahan sakit dan akhirnya kita memilih jalan yang paling sukar dalam hidup kita untuk lalui keperitan itu. Orang lain tak tahu.

Apa yang mereka mampu hanyalah berkata dan berkata. Dan pada saat itu kita hanyalah seorang manusia yang redha dan akur atas semua yang mereka perkatakan. Kita diam. Walaupun kadang-kadang kita tahu, tak semua yang mereka perkatakan itu benar. Tak semua perkara mereka tahu. Hakikat mereka hanya tahu 20% daripada 100% cerita sebenar. Pada saat itu, kita diam lagi. Bagaimana orang lain meneliti masa silam kita. Bagaimana orang lain menghukum sebarang perkara kita lakukan.

Kita ada silap kita. Tak semua perkara kita lakukan adalah benar. Tapi adakah wajar pada saat kita sudah berjaya melangkah ke hadapan, tinggalkan semua perkara menyakitkan di belakang, tapi pada akhirnya dibawa kembali. Orang lain lihat dan nampak senang. Tetapi mereka tidak pernah tahu bagaimana bertahun-tahun dan berhari-hari kita hadapi hari-hari itu. Sakit pedih itu. Kadang-kadang ia bukan soal siapa yang membawa kita ke arah kegelapan itu. Tidak kira orang yang kita sayang atau benci. Tapi bilamana ianya menyakitkan, ia akan terus menyakitkan. Trauma.


Walaupun ketika itu kita masih pada usia yang muda, tapi kita juga masih punya hati. Kita tahu bagaimana rasa sakit, benci dan takut. Kita tahu. Bukannya pada saat kita telah berusia baru kita punya rasa itu. Pada saat kita hilang barang yang kita sayang, mainan yang kita minta daripada ibu bapa kita, kita tak dapat. Bilamana kita bergaduh dengan kawan-kawan tadika berebut gula-gula dan kita tak dapat. Ia masih tetap satu rasa. Rasa daripada masa silam. Ia masih ada. Walaupun kadang-kadang kita rasa kita tak matang atas jalan yang kita pilih. Tapi ia masih tetap satu rasa, Dan kita punya perasaan. Kita masih tetap manusia yang punya hati.

Pada ketika itu, tak ada apa yang kita harapkan, Cuma satu perkara. Bagaimana kita berharap ada yang keluarkan kita daripada manusia manusia yang berkata sekeliling kita dan bagaimana kita berharap ada yang menemani kita bilamana kita takut untuk melalui hari hari mendatang. Bilamana kita meminta ada yang membawa kita jauh daripada masa silam yang kita cuba nak lari jauh-jauh. Bilamana ada yang bersama kita pada saat orang lain menghukum segala tindakan kita. Itu sahaja yang kita perlukan sebenarnya,

Tapi pada saat itu, kita takut lagi. Kita takut jika kita hilang orang-orang itu. Kita takut jika kita tidak jumpai orang-orang itu. Kita takut untuk lalui hari-hari esok. Kita takut. Takut. Ianya subjektif. Ianya bukan soal bagaimana kita rasa takut menonton filem-filem genre seram semata. Bukan soal pada saat kita lalui tempat-tempat gelap semata. Lebih daripada itu.

Semua orang punya masa silam. Tetapi ianya tentang sejauh mana kita menghormati memori dan jalan hidup mereka.. Itu jawapannya. Untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Payah. Susah. Sakit. Perit. Pedih. Ah, iya. Aku lupa. Tidak perlu dijelaskan. Mereka tidak tahu. Atau mungkin, mereka tidak dan takkan pernah tahu. Atau mereka tidak berkeinginan untuk faham.

Sunday, October 2, 2016

🌸🌸🌸

Ada banyak hal, yang kadang kadang kita nampak secara kasar dan tak meneliti secara halus bagaimana Tuhan salurkan nikmat-nikmatNya. Kadang kadang kita lupa untuk bersyukur bilamana Allah salurkan bahagia dan tawa buat kita. Kita lupa bersyukur pada tiap saat Allah gerakkan hati kita untuk ibadah untuk Dia. Kita lupa nak bersyukur bilamana Allah anugerahkan kita ketenangan dan ketenteraman dan kelapangan. Serta, kita paling lupa bersyukur bilamana Allah kurniakan kita dengan orang yang baik-baik dan selalu ada walaupun terkadang tak perlu dipanggil bila rasa peritnya sebuah hidup.

Orang yang baik baik. Subjektif. Ada banyak hal yang kadang kadang kita pandang remeh, tetapi sebenarnya impak yang terhasil amatlah besar. Dan ketemu orang yang baik baik itu menurutmu seperti apa? Ianya seperti bilamana kau rasa sakit dengan jalan hidup ini, dia terus hadir menyelinap masuk dalam situasi tanpa kau khabarkan apa yang terjadi simbolik dia ialah manusia yang benar benar Allah kirimkan buat kau pada saat yang tepat.

Bukan semua perkara dalam hidup ini kau boleh tempuhi sendiri. Dan bagaimana mereka memunculkan diri mereka untuk membahagiakan kau atas jalan yang benar, maka itu ialah orang yang baik baik. Mereka muncul tanpa sebab tapi ianya atas Allah yang menggerakkan hati kita dan hati mereka. Allah tahu apa yang kita rasa. Bagaimana jatuh sakit pedihnya sebuah hidup. Allah hadirkan mereka mereka yang perlu.

Kadang kadang nampak kecil. Iya. Terkadang nampak picisan. Bilamana kau melawat saudara dan sahabat sendiri walaupun hanya di tepi kediaman kau. Bilamana kau telefon ibu bapa kau. Bilamana kau buat mereka senyum. Bilamana kau temankan mereka dan pada saat kau atau mereka yang sakit, maka kau dan mereka saling temankan. Bilamana kau batuk dengan susah payah, mereka gosok di belakang kau walaupun mereka sedang mamai. Bilamana kau senyum dan bertegur sapa atau ingat nama nama kawan kawan kau. Bilamana kau tunjuk walaupun sedikit perasaan  menghargai kau itu pada mereka. Bilamana mereka pujuk hati mereka walaupun luka parah pada kita. Bukalah mata. Bukalah hati. Lihat.

Iya. Ada terlalu banyak hal dan perkara yang kita nampak picisan tapi sebenarnya impak nya besar. Cuma terkadang ego kita yang terlalu menyemak untuk menzahirkan kasih sayang pada insan sekeliling. Menyemak. Sesudah menyemak kita baja dan semai pula. Jangan ego. Jangan. Jangan ada sikit pun. Kelak menyesal. Ada terlalu banyak hal, walaupun kita rasa kecil, tapi impaknya besar. Kecil. Tapi besar. Carilah. Ya. Ada banyak lagi. Terlalu banyak. Kita dah dewasakan? Boleh fikir sendiri kan? Cari.


WilayahHati™

Saturday, October 1, 2016

Hujan yang berpayung.

Dan bila kita dihujani, kita cari tempat berteduh. Bila kita sakit, kita cari ubat. Dan sedemikianlah hidup. Bilamana kita rasa kita dah tak mampu nak tanggung, lupakan. Itu hanyalah apa yang kita rasa. Kita mampu. Senyum. Dan pujuklah diri dan hati sendiri. Kita mampu. Bukan tak mampu. Lebih daripada mampu. ;)


WilayahHati™

Tuesday, September 27, 2016

When It Comes To Growing.

Dan bilamana kita makin sedar usia kita makin meningkat, ada banyak perkara yang kalau boleh kita nak buang dari masa silam kita. Sakit perit, salah, silap yang sehingga kini kita cuba nak elak dan lupa tapi hakikatnya kadang kadang kita ulang juga. Manusia. Ada jatuh dan bangkitnya. Sebagaimana kita bangkit, pasti ada jatuhnya. Nak nak bila kita terbiasa duduk di atas, bila kita panjat tinggi tinggi, sekali jatuh, memang sakit tak terkira. Tapi ada banyak perkara yang kita lupa nak syukuri. Iya, sebagaimana turun naik jatuh bangkit iman, kadang kadang kita lupa nak syukur. Entah, 18 tahun ni, banyak mana dah istidraj yang saya telan. Sampai detik ini, berapa banyak dah istidraj yang kita hadam. Na'uzubillah min zalik.

When it comes to 18, (atau lebih tepat, 18 tahun, 5 bulan, 27 hari), kadang kadang bila toleh belakang, ada terlalu banyak hal yang nak dipadam. Ada terlalu banyak hal yang sampai sekarang menyesal dan kesal. Lagi-lagi bila ingat zaman kecil dulu, berapa banyak perkara tak matang yang dah dibuat. Dan pasti, bukan saya seorang yang rasa sedemikian. Kalau boleh masuk balik zaman kecil dulu, rasa nak pergi bagitahu pada diri sendiri, jangan buat begini begini, Jangan buat begitu begitu. > < nakal, ya rabbi.

Dan, satu hal yang saya sedar, bilamana usia kita semakin bertambah, kita semakin banyak diam dan menyendiri. Mengangguk daripada bicara. Kadang kadang tanda ya, kadang kadang tandanya tidak. Atau kadang kadang, kita malas nak bertekak. Matang ialah apabila kita bersedia menerima perubahan, lebih banyak mendengar daripada berkata, dan lebih banyak diam mencari solusi daripada bertengkar menuding jari, Diam kadang-kadang tanda kita sedang memerhati dan belajar. Diam kadang kadang tanda kita sedang penat dan sedang berehat. Dan kadangkala juga diam tanda kita setuju. Atau yang paling teruk, kita diam kerana tidak tahu tindakan yang wajar dan takut untuk sebarang tindakan.

Serta, matang itu ialah mereka yang mendiamkan kisah hidup mereka dan cuba tempuhi nya dengan segala kekuatan yang ada. Tidak kira, secara sendirian dengan bantuanNya, atau dengan bantuan manusia lain yang turut serta. Kita mendiamkan kisah hidup kita dan lari daripada dunia maya dan kita berhenti mengkhabarkan kisah dan aib manusia (termasuk kita) sehingga menjadi kisah utama di pengkhabaran. Dan ada juga, bilamana kita makin dewasa, kita makin takut menghadapi manusia kerana kita takut dengan setiap mentaliti dan kerakusan manusia yang ada. Hakikat, kita masih belum merdeka. Takut itu sentiasa ada. Sentiasa. Kerana tanpa takut, tiada berani, Tanpa berani, tiada takut. Tapi ianya bergantung kepada sejauh mana kita menangani ketakutan kita pada dunia luar. Pada mentaliti manusia dan orang sekeliling.

Terlalu banyak manusia yang dihantar kepada kita untuk menyebarkan kuasa negativiti. Maka ianya bergantung kepada kuasa positiviti yang kita punya sedia ada mahupun yang kita bina. Terkadang, hasad dendam dan dengki meletakkan katalis dalam positiviti yang ada sekaligus menyumbang kepada ketidakseimbangan kuasa. Sekali terleka, nah jatuh. Lagi. Dan lagi.

Kadang-kadang, ya, kita lupa melihat dunia luar dan semakin dewasa, semakin ke hadapan mentaliti kita harapnya. Terkadang, cita-cita yang tinggi bukan kerana ingin menginginkan wang yang banyak, ekonomi yang mantap, akan tetapi didorong sebuah impian dan tekad yang suci. Tetapi akhirnya ditiup hasutan apabila sudah sampai ke epilog cerita. Sadis. Kita belajar. Dan belajar. Kadang kadang kita lupa mengambil manusia lain sebagai contoh. Kadang kadang kita lupa melihat ke bawah apabila sudah naik. Lupa. Lupa. Dan lupa. Lumrah. Tapi sepatutnya itu tidak menjadi alasan yang relevan untuk sebuah epilog yang dihentam caci maki.

Makin dewasa, kita makin belajar dan melihat. Kita penat. Maka kita diam. Kita penat, maka kita rehat. Kemudian kita lari dan kejar lagi. Cuma satu. Moga jalan cerita yang kita bawa ini, memberi impak positif pada insan sekeliling. Moga epilognya seperti yang kita harap bukan seperti omongan negatif yang masyarakat sekeliling bawa kemudian menjadi fakta. Kita perlu ramai lagi insan berjaya, insan cemerlang dan berfikiran ke hadapan. Kita perlukan ramai lagi manusia yang tidak asyik berkeluh kesah dengan sedikit kepenatan sedangkan usaha dan hasilnya tak kelihatan. Moga kita menjadi dewasa dengan membesarkan mentaliti yang kita punya. Semoga kita tak hanya dewasa dengan usia. Moga moga. Iya, moga-moga.

Nota kaki:
Just remember, you come this far, is not to go to this far. Further. And grow older, doesn't mean you're grow up. And grow up, doesn't mean you are grow older.

Dari Tepi Jalan.

"Kita bukanlah bodoh sangat untuk tak melihat dan mengerti, kalau dah yang namanya manusia, mesti ada yang suka. Mesti ada yang tidak. Matang adalah mereka yang menerima, hakikat hidup ialah mati. Makanya, the only one we need to pleased is Rabbul Izzati. Tidaklah dunia ini melainkan ujian. Macam main game juga lah. Kalau dah unlock satu level, the next one akan susah tahap gila punya unbelieveable. Dari pemarah kita jadi penyabar. Dari penyedih kita jadi pembahagia. Tapi takkan lah mudah mudah syaitan berputus asa dengan kita. Lalu dihantar pula manusia manusia untuk memetik sabar kita sehingga kontang. Bertopengkan niat yg baik kadang kadang. Ada masa datang dengan jahat yang terang. Don't let this cloud blind you. Politely ask them to leave. Kalau tak terdaya, diam. Pandang. Tapi jangan dengar. "


WilayahHati™

Sunday, September 25, 2016

Persuade Your Heart

Everyone comes and goes for reasons. Sometimes they just need space and time. Just remember, however he/she is doing, they're try their best for themselves and for you. Even u can't deny that, if someone take u as someone important, they will take you as priority.

But remember, at the same time, they have their own responsblity. They have a lot to do. He is trying his best. And she is trying her best. For themselves. For you. And for the future. Sometimes you must put your selfish aside. Take a deep breath. And think nicely.

Sometimes people are not growing up. But they just grow older. For that, show them the true and right path. Which one they shouldn't and which one they should. That's the right way. Persuade your heart. Doesn't mean you are not important.. Just.. There's a lot of thing that must be settled up. There's a lot of thing must be alerted and concerned. You are important. But theres more things that important.

Take the thing first doesnt mean you are left behind or is being abandoned. Live your life. Follow the flow. And have a happy life. If she or he does mean for you, they'll stay. If not, yes, not. Life is about gambling. You are gambling your heart for the others but you cant have them, you are gambling your money but you didnt get returned, you are gambling your time but you still not be the important one, you gambling your sleep but u still didnt get well in your test. And so on. Life is gambling.

Persuade your heart. Chin up. Smile. You know you are playing gamble right now, right? Then just go on. Go on. Play. Until the game is end. Smile.

WilayahHati™


WilayahHati™

Wednesday, September 21, 2016

Di mana kita sebenarnya?

Ilham, idea, pendapat bernas, perspektif, mentaliti, bukan selalunya ada. Kadang-kadang ia pergi tanpa salam. Dan bilamana dia pergi, kita terpaksa merangkak mencari lagi. Payah. Apatah lagi bilamana ianya tak dididik. Atas dasar itu, Rasulullah bersabda, antara ubat bagi penyakit hati ialah bergaul dengan orang berilmu. Tapi, kita lebih suka berbicara mengenai sesuatu yang picisan. Ya, masyarakat kita suka. Sehingga terkadang kita membuka cerita orang, mencari silap orang, mengkritik itu ini. Kita lebih suka menyalahkan dan mempersalahkan lebih daripada duduk tenang, berdiskusi dan mencari solusi.

Kita yang payah. Kita teramat payah. Bukan soal kita tak minat, Tapi soal kita tak nak pupuk minat. Bilamana organisasi suara pemuda ditubuhkan, kita bagi mereka sokongan negatif dan berputus asa membabi buta dan memutus asakan mereka. Kita yang buta atau mereka? Bilamana masyarakat lain menyokong usaha murni bagaimana menyalurkan suara pada haluan yang betul, kita masih di sini dengan mentaliti picisan yang memerlukan subsidi dan rapuh atas tampuk yang sama.

Tak tahu di mana silapnya. Sistem kita atau didikan kita? Atau memang dari zaman nenek moyang kita, mereka suburkan mentaliti dan fikiran tertutup untuk seluruh keturunannya. Kita tahu. Cuma kita tak sedar. Kita tahu bagaimana dunia luar sebenarnya. Tapi kita pura-pura tak nampak. Lebih teruk, kita tak tahu bagaimana dunia luar sebenarnya dan tak rasa nak tahu. Hidup ini bukan soal mencari keseronokan.

Ianya tentang bagaimana dan apa yang mampu kita sumbang buat masyarakat dan generasi akan datang. Bagaimana perjuangan itu kita teruskan dan bagaimana kita tabah dan gagah atas haluan yang benar. Bagaimana pada masa akan datang kita mampu menyemai mentaliti dan jiwa yang murni. Atau kita lebih suka lepas tangan dan beranggapan, dunia akan datang tiada kaitan dengan kita sebagaimana kita ialah kita pada hari ini.

Kita silap. Kita kabur. Kita lebih bahagia dan suka atas jalan yang kekaburan ini selagi mana ianya memberi kesenangan dan kemewahan. Kita senyum. Kita sentap. Kemudian, kita pura-pura tak nampak dan .. biar..

Hidup bukan soal itu. Bukan soal kau menjadi janin, membesar dengan baik, membuat kerosakan kemudian kau bla daripada bumi dan tinggalkan masalah dan bala malapetaka bencana untuk orang lain. Kau boleh bahagia. Tapi jangan pernah bina mahligai bahagia itu atas tanah kekecewaan dan tangisan orang lain. Tak berkat. Silap hari bulan boleh runtuh. Kau tahu posisi kau di mana. Kau tahu di mana kau bertapak. Tak perlu sesiapa bagitahu. Apa nak buat? Cari solusi, buka minda, bangkit dan jangan rebah. Binalah bahagia setinggi mana pun, cuma, jangan pernah lupa membahagiakan orang lain.

Cahaya, Jangan Pergi!

Sesak.
Gelap.
Sakit.
Pedih.
Aku ingin keluar menggapai cahaya.
Meronta mencari pelangi.
Liku liku jalan itu aku tempuhi.
Tapi aku masih di sini.
Atas jalan yang sama,
Langkah berbeza.
Di mana silapnya.
Cahaya, jangan pergi.
Kemudian ianya hilang.
Hiba. Sakit.
Sekali lagi.
Cahaya,
Moga kau melihat bagaimana aku mencari
Bagaimana sakit lukanya di sini,
Bagaimana berdurinya jalan ini.
Bagaimana berbatu nya sungai di tepi ini
Dan bagaimana derasnya air sungai ini.
Takut.
Cahaya,
Jangan Pergi.

Moga Thabat.

Dan bila kau berilmu, kau diuji dengan banyak perkara. Dengan ilmu, kau diuji dengan hasutan riak, takabur, tamak, dan nama.

Dan bila kau bahagia, itu juga ujian. Kau diuji dengan bagaimana kau menzahirkannya. Kau diuji dengan bagaimana kau mensyukurinya.

Hidup ini ujian jika kau lihat, pandang dan teliti secara halus.Setiap saat kau diuji.

Sakit itu ujian.
Sihat itu ujian.
Bijak itu ujian.
Dungu itu ujian.
Internet perlahan, ujian,
Tak ada internet terus, ujian.

Semuanya ujian. Maka ianya soal bagaimana kau tangani ujian. Bagaimana kau kuat dalam hadapi ujian. Apa yang kau bergantung dalam menempuh ujian. Semuanya soalan sebenarnya. Soalan yang jawapannya kau perlu cari dan jawab. Dan sehingga kini, apa yang kau buat untuk ujian itu? Kau lemah, kau tewas. Kau jatuh. Tapi Tuhan tak pernah hilang. Tuhan tak pergi. Tapi jika memilih jalan untuk lemah adalah kompas kau, barangkali kau yang akan pergi. Dan barangkali kau dah tak ingat terus kau Islam, dan punya Tuhan. Barangkali agama yang terkadang hanya picisan atas sehelai kartu pengenalan kosong.

Ini dunia. Ini hidup. Kau perlu terima hakikat. Menghadapi dunia yang berkerikil tajam, kau akan jatuh rebah juga, meski kau telah bersiap siaga. Tapi, sentiasa ingat, percaya dan yakin, Tuhan terlalu baik untuk tinggalkan kau sendiri.

Semoga peroleh illiyyin dengan tangan kananmu. ;)

Tuhan Tahu. Tuhan Nampak.

   Tuhan tahu kita penat. Tuhan tahu bagaimana kita memerah setiap keringat, berjaga malam, belajar sesuatu yang kadang-kadang kita tak dapat terima faktanya. Ya, Tuhan tahu. Bukan Tuhan tak tahu. Tuhan nampak. Bukan Tuhan tak sengaja menguji. Tuhan sengaja. Sebab Tuhan tahu, akan datang, kita akan jumpa banyak lagi dugaan yang memerlukan sabar dan thabat yang tinggi dan atas itu Tuhan sedang siapkan kita untuk itu.

    Iya, Tuhan tahu bagaimana remuknya hati, hilangnya kudrat, penatnya mengingat. Tuhan tahu semua tu. Bukan Tuhan tak tahu. Bukan Tuhan tak peduli. Mungkin Tuhan rindu. Mungkin itu bahasa rindu Dia. Kadang-kadang mungkin kita yang tak nampak, kabur dan tak mampu gapai rindu itu.

   Kadang-kadang kita jatuh, sakit, jerih, perit. Tuhan tahu. Tuhan nampak. Cuma kita tak tahu, kita tak pernah sendiri. Dia ada. Kadang-kadang kita penat bila banyak yang kita kena hadapi sendiri. Kita silap. Kita tahu kita ada Tuhan. Cuma mungkin kita tak sedar. Mungkin. Dan jika kita sedar kita hidup bertuhan, apa lagi alasan untuk kita putus harapan?

   Kadang-kadang kita diuji, pada saat kita menjumpai orang yang baik-baik, dalam sekelip mata kita hilang mereka. Pada saat itu Tuhan uji lagi dengan peritnya rasa kehilangan. Iya, Tuhan tahu. Tuhan nampak. Bukan Tuhan tak nak layan kita. Cuma, Tuhan nak lihat, sejauh mana, daya ketahanan persiapan yang Tuhan telah siapkan pada kita selama kita menjumpai orang yang baik-baik. Tuhan nak lihat, kita baik untuk siapa? Sebab apa?

   Iya. Tuhan lihat. Tuhan menilai. Tuhan nampak. Bukan tak nampak. Sentiasa percaya, Tuhan tentukan semuanya bersebab. Berhikmah. Cari, Bukan mempersoalkan dan menyalahkan. Tuhan nampak semuanya. Bukan Tuhan sengaja nak sakitkan kita. Bukan Tuhan sengaja nak penatkan kita. Tuhan sedang siapkan kita. Tuhan sedang uji kita. Bukan kerana tak cinta. Tapi sebab tahu, jiwa yang penat lelah itulah yang akan merintih untuk Dia, Jiwa yang lelah itulah yang Tuhan sedang genggam. Jiwa yang hilang itulah yang akan meronta mencari Dia.

Dan untuk semua itu, Terima Kasih, Tuhan.

Surat cinta daripada Dia,
" Adakah kamu berasa kamu beriman, sedangkan kamu belum diuji?"

Sunday, April 17, 2016

Hanya Dengan 2 Perkataan

Kadang-kadang, hanya dengan 2 perkataan kau mampu mengubah dunia. Mengubah persepsi sekeliling terhadap kau. Tapi sayang. Kau lebih suka menanam pohon ego kemudian terus semai dan dijaga rapi.

" maafkan saya "
" tumpang lalu "
" sayang awak "
" saya hargainya "
" terima kasih "
" jaga diri "
" jaga iman "

Dan banyak lagiii..

Ianya bukan soal berapa perkataan yg ada dalam kata kata tersebut sebenarnya, tetapi ianya soal sejauh mana kita menghormati, menghargai dan peduli akan orang lain.  Ianya yang menunjukkan nilai peradaban dan nilai keperibadian dalam diri seseorang. Kadang-kadang ianya mudah. Tapi kita memayahkan.

Kadang-kadang ianya nampak kecil, tapi sebenarnya besar dan memberi impak yg sebenar ke dalam jiwa manusia. Setiap perkataan, kata-kata, memberi impak walaupun sedikit. Kerana itu, bagaimanapun keadaannya, tuturkanlah apa yang baik-baik, pilih dan gunakanlah perkataan yang terbaik dalam mendeskripsikan sesuatu kerana segalanya mempunyai impak. Kerana itu, walaupun hanya dengan dua perkataan, ungkaplah.

Nota kaki:
" kita lebih menjaga apa yang masuk ke dalam mulut kita. Sehingga terlupa untuk menjaga apa yang keluar daripada mulut kita ".


WilayahHati™

Saturday, April 2, 2016

Makin Ke Hadapan, Makin Sakit

18 tahun. Alhamdulillah. Terima kasih Tuhan. Atas setiap perkara yang
Kau pinjamkan 18 tahun ini. Yang datang dan pergi. Yang kekal dan yang hilang. Terima kasih Tuhan.

Cuma setelah makin meningkat usia, aku dapat rasa Tuhan, makin banyak hati yang aku perlu jaga sehingga hati aku sendiri tak terjaga. Terlalu banyak perkara yang memaksa aku untuk senyum walaupun dalam hati sakit. Semakin banyak perkara yang memaksa aku untuk tak fikirkan apa yang aku rasa dan terus menerus menjaga hati orang lain.

Semakin banyak perkara yang menyakitkan terus menerus datang. Terus menerus menembak hati. Mencakar jiwa. Bernanah. Berdarah. Membuatkan aku terfikir, adakah memang begini. Manusia semakin hari semakin kejam. Semakin hari semakin hilang kematangan. Semakin hari semakin tak punya hati.

Duhai jiwa yang dipinjamkan Tuhan selama 18 tahun lama nya, kuatlah. Baru 18 tahun kau berada di atas bumi ini. Baru 18 tahun kau menyaksikan realiti hidup. Baru 18 tahun kau berkorban untuk jiwa jiwa yang lain di sekeliling. Maka, jangan pernah penat. Jangan pernah futur. Setiap kebaikan meski sebesar zarah Tuhan hitungkan  buat kau, wahai jiwa. Jangan pernah rebah.

Bersyukurlah. Kerana kau berjiwa begini wahai jiwa. Jika tidak kau, siapa lagi? Semoga kau terus kuat. Semoga kau lali. Kerana...

SUDAH 18 TAHUN TUHAN TIUPKAN RASA BAGAIMANA ADANYA JIWA ITU. Hiduplah seperti biasa.


WilayahHati™

Friday, March 11, 2016

DAN HIDUPLAH KAMU WAHAI JIWA

Bila dah makin dewasa, banyak benda yang aku rasa aku perlu pendam. Banyak benda yang aku perlu simpan. Banyak benda yang aku perlu tahan. Demi orang sekeliling. Kadang kadang, memang sakit. Tapi sebab kadang kadang kau dan aku pun malas nak bergaduh atas hal yang remeh. Maka, kau ambil keputusan untuk pendam. Daripada membesarkan perkara yang kecil. Daripada memparahkan keadaan.

Dan bila kau berhubung dengan manusia, ada masa kau kena terima hakikat, baik mana sekalipun, ada masa orang yang baik dengan kau tu akan bosan dengan kau. Akan buat ikut hati dia. Dan pada waktu tu, apa yang kau perlu buat, cumalah senyum, dan mula bertapak atas jalan kau sendiri kembali. Tanpa orang di sisi. Hakikatnya, kau mampu bangkit dan berjalan tanpa mereka. Asalkan? Kau punya Dia. Berjalan atas jalan kau. Senyum bawa takdir kau sendiri dan terus menyumbang untuk masyarakat. Sebab? Itu tujuan hakiki kehidupan.

Kadang kadang bukan sebab kau ni lurus. Atau bukan sebab kau ni terlalu baik. Tapi sebab kau dah penat bermain dengan manusia sekeliling. Pada waktu tu, kau dah malas nak berfikir untuk orang lain. Aku penat. Kau penat. Dan kita semua penat. Jadi soalan sekarang, kenapa kita masih bermain atas jalan kehidupan?

Kadang kadang bukan hari ni je hidup kau hambar. Tapi semalam, dua minggu lepas, dua tahun lepas. Tak apa. Siapa kisah tentang kau? Jaga sahaja hati kau. Jaga sahaja hati mereka. Bantu sahaja mereka. Dan hakikatnya kau kena faham, semua orang akan berubah. Semua orang. Sebab mereka orang. Bukan dinding. Jadi kau yang kena kuat, untuk jadi diri kau. Untuk layan semua orang dengan mentaliti yang sama walau bagaimanapun mereka berubah. Senyumlah. Ini dunia sebenar. Pada saat kau dah tak kuat dan dah nak menangis meratap, silakan. Itu yang terbaik. Hidup sebagai seorang pemendam. Teruskan. Sembunyikan segala rasa sakit. Maka tiada siapa akan tahu bagaimana sakit yang timpa kau itu.

Parah bernanah luka kanser. Hakikatnya, kalau mereka tahu, kau rasa mereka peduli kah? Tak. Jangan expect apa apa daripada manusia. Hidup atas jalan kau. Senyum. Hidup macam biasa. Kenapa aku coretkan di sini? Kerana aku mahu kau tahu... kadang kadang, pena dan kertas, kata kata dan papan kekunci, lebih memahami jiwa daripada pancaindera dan hati manusia. Biarkan mereka bosan dengan kau. Asalkan kau... jangan pernah menjadi pengasah yang melukakan hidup manusia lain. Asalkan kau menjadi pemadam untuk memadamkan kesakitan orang lain. Asalkan kau menjadi pensel dalam melakar kisah pelangi indah dalam hidup orang lain.

Ini... PERJUANGAN SEBENAR HIDUP ATAS WILAYAH HATI INI. MAKA, KAU KENA DAN WAJIB KUAT !

Saturday, March 5, 2016

Merangkak Tapi Tak Ketemu.

Bila merenung kejap. Muhasabah kejap. Aku tahu dan aku dapat rasa. Aku makin jauh daripada aku yang dulu. Aku makin jauh daripada cara aku berfikir dulu. Dan atas segala yang aku fikir hari ini, detik ini, aku tahu.. Ada sesuatu yang Tuhan cuba sampaikan tapi aku belum cukup mengerti.

Atau aku mengerti tapi aku pura pura tidak mengerti. Aku merangkak mencari tak ketemu. Atau mungkin aku perlu cuba berjalan atau berlari pula. Tuhan... Kalau pun benar cinta dan kasih sayang itu Kau ingin hulurkan untuk aku, kalau benar cinta yang kau hulur itu melalui manusia di sekeliling aku, maka salurkanlah. Kerana aku terdesak. Kerana aku menagih walaupun secebis dan secubit kasih sayang daripada Mu. Meskipun daripada manusia sekeliling aku.


WilayahHati™

Monday, January 18, 2016

" Takde life "

Lifeless. Takde life. Orang selalu cakap pasal benda ni. Sampai sekarang saya masih merangkak atas jalan kehidupan dan cari makna 'lifeless' ini sebenarnya. Dan majoriti akan cakap hidup saya, ialah hidup yang tiada life. Tak banyak bersembang dan keluar dengan kawan. Mereput di rumah dan hanya jika terlalu banyak tekanan, saya akan keluar untuk cari sesuatu yang baru.

Berbalik kepada life. Ada banyak pandangan tentang life. Atas jalan yang saya ambil sekarang, mungkin kelihatan takde life. Tapi siapa kisah? Siapa yang berhak untuk kata hidup kita ni takde life. Adakah life itu bilamana kita rasa bahagia lepak dengan kawan, keluar dengan kawan, habiskan duit untuk benda benda yang katanya acah hipstur, pakai lawa lawa, membazir masa dengan sembang di kafe hipstur?

Itu ke makna life yang hakiki? Setiap orang ada tujuan hidup dia. Maka, yang ada tujuan hidup itulah yang ada life. Biarpun pada saat dia menghadap kerja yang bertimbun demi ummah dan masyarakat, biarpun ketika dia menghadap berbelas mayat sehari. Itu ialah life yanh hakiki. Bila mana kita ada objektif dalam hidup, itu beerti kita punya life. Jika Sebaliknya? Itu petanda kita masih belum matang untuk sebuah kehidupan.

Kita belum cukup matang dalam memerhati apa sebenarnya yang kita perlukan. Apa yang ummah perlukan. Apa yang masyarakat perlukan. Sebab? Kita terasa bahagia dengan 'life' yang kita punya. Bukan satu masalah bila kita nak enjoy semua. Tapi itu bukan definisi hakiki life. Ada banyak lagiiiiiiiii yang masih belum kita perjuangkan. Ada banyak perkara lagii yang masih memerlukan kita untuk menghidupkan LIFE YANG SEBENAR.

Maka, mengapa kita masih di sini, di tampuk yang sama, untuk sebuah LIFE DUNIA YANG PALSU?

Thursday, January 14, 2016

Futur Tanpa Sedar

Manusia. Kita pun ada masa naik dan turun iman kita. Sebab tu, bila kita tengok budak budak huffaz, alim warak pun ada masa dia jatuh dalam perjuangan dakwah dia sebagai daie. Sebab memang fitrah iman manusia itu naik dan turun.

Lagi lagi kalau yang memang jenis terpelihara dengan pelbagai suntikan tarbiah dan makanan rohani. Sebab syaitan yang mengekori mereka ketika itu, bukan lagi syaitan jenis tahap biasa macam budak lain. Budak biasa. Nama pun 'terpelihara'.

Dan atas sebab itu juga, ada yang mengambil keputusan untuk menjual ayat allah. Ayat ayat allah diperniagakan seolah tanpa nilai. Sebab itu ada antara mereka yang kadang kadang tersasar daripada jalan haq dek kerana satu suntikan hasutan.

Tapi walau macam mana sekali pun kita, apa yang membezakan kita adalah taubat. Jika kita tak mampu menyaingi para salihin dalam ibadah mereka, maka saingilah para pendosa yang sentiasa beristighfar untuk mohon taubat kepada Dia

Ada masa memang kita futur. Hakikat sebenar punca futur selepas bermujahadah adalah berpunca daripada titik permulaan yang kurang baik. Ada masa kita jatuh tergolek sampai syaitan pun terkinja kinja bahagia. Tapi menjadi tanggungjawab kita untuk cari balik iman itu. Untuk cari balik hidayah dan halawatul iman itu.

Jangan putus asa. Jangan berhenti di pertengahan jalan. Jangan leka. Sesungguhnya Allah melihat kita. Jika satu per satu nikmat yang diberi, dan kita masih terus dalam kekufuran, maka ketahuilah, hakikat sebenar ianya adalah istidraj. Bukan nikmat. Bangkitlah dan sedarlah. Berapa banyak istidraj yang telah kita terima dengan bahagianya? Tanpa segan silu dan maruah. Murahnya dan rapuhnya iman kita.

Kadang kadang, ada satu masa, bila kita hadapi kesusahan, kepayahan, hadapi peperiksaan, baru kita kenal allah. Bergunung ibadah kita buat untuk minta daripada Dia. Lepas settle semua tu, walaupun belum keluar keputusannya, semua petunjuk itu hilang dan kejahilan mula naik tocang. Dari mana asal usul kita sebenarnya? Apa usaha kita untuk manifestasikan cinta hakiki pada Dia?  Manifestasi Cinta yang palsu hakikatnya

Walaupun begitu, Dia tetap menjaga kita. Pelihara kita. Jika difikir logik, berapa kali dah kita ni sebenarnya patut tidak berada di tempat kita sekarang? Duhai hamba, bangkitlah. Sesungguhnya Allah itu Maha menerima taubat. Dia tahu hamba Dia lemah. Sebab tu, Dia sentiasa buka pintu taubat untuk hamba Dia. Sebab Dia tahu, ada masa kita tersungkur. Maka bergagahlah kembali untuk merentasi halangan sungai kejahilan dan kekecewaan ini sekali lagi.

Jika SYAITAN tidak pernah berputus asa dalam menyesatkan kita, dan ALLAH tidak pernah berputus asa dalam menerima taubat kita, maka mengapa perlu kita berputus asa untuk mencari Dia?

Duhai Hati. Tabahlah. Kuatlah. Demi UMMAH yang kian nazak pada hari ini.

Thursday, January 7, 2016

Tajassus Mekar Menguntum

Kadang kadang saya kesal. Bila manusia melihat orang yang figuranya tmpak baik, mereka pejam serapat rapatnya mata demi 1001 kesalahan yg org itu lakukan. Bila manusia itu luarannya nampaknya sebaliknya, manusia lain sibuk mencari setiap inci buruknya. Agaknya ummat skrg perlu diberitahu semua amal jariah agar tidak wujud lagi tajassus. Agar tidak wujud lagi suuzhon dan kemudian ghibah yg membawa ke jahannam.

Manusia terus menerus menghukum dan mengambil alih kerja Allah. Bila mana muka seseorang itu masam dan garang, dikatanya tidak peramah walhal hakikat wajahnya memang begitu sejak lahir. Bila mana akhlaknya tidak baik, dikatakan keseluruhannya tidak baik sedangkan dia lahir ke dunia ini dengan didikan keluarga begitu. Salah siapa?

Jika ditanya salah siapa, setiap jari pasti sibuk menuding. Terkadang kekesalan saya itu lebih subur hidupnya apabila seseorang itu bijak dikatakan sombong sedangkan apabila dia cuba ucapkan sesuatu ilmu dianggap tunjuk bijak menyebabkan dia mengundur daripada masyarakat. Ada masa bila seseorang itu mempunyai kelebihan dibandingkan hidup mereka dengan yang lain sedangkan yang mempunyai kelebihan itu mempunyai pelbagai masalah keluarga, seksaan batin dan pelbagai lagi.

Saya kira masyarakat kita sangat susah untuk maju ke hadapan. Dengan sikap suka mencari aib dan berburuk sangka seterusnya menokok nambah cerita dan lebih cenderung melihat siapa yang berkata daripada apa yang dikata. Dan kadang kadang saya malu dikelilingi masyarakat sebegini.

Kita tidak belajar dan tidak pintar. Kita sibuk menunjukkan siapa yang lebih pintar dan bodoh sombong sambil memperjuangkan sesuatu yang jelas kebatilannya dan bukan menurut atas landasan ilmu.

"Maka, ke mana hilangnya kata kata Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia? "

Melayu memang sudah lama ada dan benar kata Hang Tuah, memang takkan. Sikap tunjuk bijak, bodoh sombong, tidak brfikir ke hadapan masih subur. Tahniah, Hang Tuah kerana berjaya meramal masa hadapan.

WilayahHati™

WilayahHati™