Sunday, November 6, 2016

Contoh Karangan SPM : Faedah Membaca

Bismillahirrhamanirrahim.
So, this is for you girls, my dear juniors who asked this even ya, I post this tonight and you will have the exam tomorrow. Hahaha. Dah setahun tinggalkan SPM dan terpaksa buka semula fail lama. Adeh. By the way, this essay is from my trial, last year. Yap. Terengganu. And I swear, it's very confusing me with the question yang berbelit and I take a lot of time to think about it either the question ask for The Benefit of Reading or Steps to Make Sure this society love to read. However, alhamdulillah. I did it. Panjang? Prinsip saya, bila kamu nak sesuatu yang power gigantic, by all ways mean, macam markah yang tinggi, you've to work harder. So, if there's any typo, sorry since I typed it tonight dengan susah payahnya, kelam kabutnya. Hahaha. Sengaja. Nak timbulkan perasaan bersalah tu. Haha. Okey, sis gurau. Best wishes and good luck for your examination. Tenenenene.


*          *          *          *          *          *

FAEDAH MEMBACA
OLEH : SAYIDAH MUSFIRAH KAMARUL SHUKRI
06 NOVEMBER 2016

                Pada era globalisasi kini, budaya membaca merupakan satu amalan yang signifikan bagi mencapai kecemerlangan dengan jayanya. Saban tahun, lautan pengunjung dan generasi ulat buku mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dan bilangannya semakin meningkat dari tahun ke tahun. Melihat aspek ini dari sudut positif, realitinya hal ini memajukan lagi industri dan pasaran buku di Malaysia sekali gus menjadi momentum penting bagi negara untuk mencapai tahap literasi yang tinggi di Malaysia. Menurut kajian, Malaysia merupakan sebuah negara yang mencapai tahap literasi yang tertinggi berbanding negara–negara Asia Tenggara yang lain dan hal ini sudah tentunya meletakkan Malaysia di posisi yang membanggakan. Namun begitu masih ada golongan yang muflis intelek, menganggap bahawa budaya membaca merupakan satu amalan yang konservatif. Justeru, penulis terpanggil untuk membedah siasat dan mencungkil kepentingan budaya membaca ini, yang sudah pastinya melahirkan generasi yang berjaya seterusnya merealisasikan Wawasan 2020 yang diimpikan oleh kerajaan dan seluruh rakyatnya.
               
              Antara hujah yang mampu membuktikan keberkesanan amalan membaca dalam melahirkan masyarakat cemerlang termasuklah, budaya ini sememangnya mampu menambah informasi dan pengetahuan kepada seseorang individu. Hal ini jelas dibuktikan melalui tulisan-tulisan melalui rubrik-rubrik akhbar dan buku-buku ilmiah yang sudah pastinya memberikan informasi yang bersifat kontemporari. Misalnya, buku yang berjudul #Henshin, hasil nukilan Aimaan Banna telah berjaya menarik minat pembaca apabila menjadi salah satu bahan bacaan ‘best seller’ dek kerana 25 000 naskah yang berjaya dijual hanya dalam masa sebulan. Sekadar makluman, Henshin merupakan satu bahan bacaan yang memberi panduan kepada masyarakat untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik dengan cara-cara yang efektif. Maka secara tidak langsung, buku ini akan membantu masyarakat seterusnya mengeluarkan masyarakat daripada kepompong persis mengeluarkan masyarakat daripada golongan seperti katak di bawah tempurung. Amalan membaca juga mampu memberi informasi terkini mengenai kejadian yang berlaku di dalam atau luar negara. Sebagai contoh, informasi mengenai tragedi kehilangan pesawat MH370 dan MH17 yang menyayat hati pembaca dapat diketahui dengan lebih lanjut melalui pembacaan. Maka, jelaslah bahawa amalan membaca mampu menambah pengetahuan seseorang dalam sesuatu perkara.
              
              Dalam pada itu, budaya membaca turut memberi impak positif kepada pembaca dengan membantu seseorang individu untuk menambah perbendaharaan kata. Dalam aspek ini, jika tinjau apabila seseorang itu membaca, dia mampu menemui perkataan-perkataan baharu dan ideal untuk menghasilkan hasil penulisan yang berkualiti. Misalnya, apabila seseorang individu membaca mengenai perihal kesusasteraan, dia mampu menemui kalimah-kalimah bombastik dan arkaik dalam bidang kesusasteraan seperti ‘radif’ dan ‘fatalis’. Maka hal ini secara tidak langsung turut mampu menjayakan usaha murni kerajaan dalam menjayakan dasar “Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris” atau lebih dikenali sebagai MBMMBI dalam aspek pendidikan. Tanpa disedari, hal ini turut mampu meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara maju yang lain ibarat kata mutiara, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi setanding dengan negara yang terkenal dengan aspek kemajuan bahasa. Sesungguhnya, amalan membaca ini mampu membantu seseorang individu bagi memahami bahan bacaan yang lebih tinggi tahapnya daripada bahan bacaan sebelumnya dengan penambahan perbendaharaan kata.
                
              Selain itu, dalam mencapai kejayaan yang terbilang, membaca juga amat diperlukan bagi mencapai kejayaan dalam peperiksaan. Pada era globalisasi kini, amalan membaca merupakan satu keutamaan kepada pelajar untuk menjawab soalan-soalan yang mencabar minda apatah lagi sejak kemunculan soalan yang berorientasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Jika budaya ini tidak dipupuk dari awal, bagaimanakah seseorang itu mampu menjawab soalan-soalan yang memerlukan pembacaan yang maksimum dan fakta yang kukuh seperti dalam subjek Sejarah dan Biologi. Secara eksplisit, budaya membaca hakikatnya membantu seseorang pelajar bagi menghafal fakta dan informasi-informasi penting. Tidak dinafikan, masih ramai lagi pelajar-pelajar yang berat tulang untuk membaca dan lebih gemar untuk membuang masa dengan telefon-telefon pintar dan komputer riba terutamanya di hutan konkrit yang serba canggih ini. Namun, kita harus sedar bahawa nak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Hakikatnya, budaya membaca sepatutnya bukan menjadi satu pilihan atau kehendak tetapi merupakan satu kewajipan. Jika tidak, maka akan wujudlah generasi yang muflis intelek sedangkan setiap pelajar merupakan perintis yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang. Justeru, jelaslah bahawa budaya membaca mampu membantu seseorang mencapai kejayaan yang hakiki.
                
              Di samping itu, budaya membaca turut mampu meletakkan negara sebagai sebuah negara yang terkenal di seantero dunia sekali gus memajukan negara. Perlu diingat, kecemerlangan sesebuah negara bukanlah diukur dari sudut pembangunan fizikal semata bahkan kejituan rohani yang mapan. Suatu ketika dahulu, Kota Baghdad merupakan sebuah negara yang terkenal dengan penulisan dan penterjemahan ilmu dari seantero dunia yang digapai melalui budaya membaca. Nah, bukti bahawa budaya membaca sememangnya mampu meletakkan negara di persada dunia. Sekadar makluman, mengikut perangkaan Jabatan Statistik Negara pada tahun 2008, rakyat di negara kita sebenarnya hanya membaca dengan kadar purata lapan hingga 12 buku setahun sedangkan indikator sebuah negara maju menuntut rakyatnya membaca sebanyak 20 buku setahun. Secara analoginya, negara matahari terbit yang terkenal dengan kemajuan lahiriah serta pembangunan yang pesat telah berjaya melepasi tahap ini apabila rakyatnya membaca sebanyak 40 buah buku setahun. Selain itu, menurut Pusat Kajian Pew, rakyat di Amerika Syarikat pula telah membaca dalam kadar purata lebih 17 buah buku setahun. Maka, tidak hairanlah jika negara mereka mampu menempa nama di mata dunia. Oleh hal yang demikian, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia telah berusaha sedaya upaya bagi melestarikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat dengan mewujudkan Dasar Buku Negara yang bermatlamat untuk melahirkan golongan yang berilmu dan bermaklumat. Sudah terang lagi bersuluh, budaya membaca mampu meletakkan negara kita bukan sahaja di posisi membanggakan  bahkan di posisi negara terbilang seterusnya melahirkan golongan muda yang berideologi dan berfikiran kritis.
                
              Selanjutnya, amalan membaca turut mampu mengisi masa lapang seseorang. Misalnya, seseorang individu mampu memanfaatkan masanya dengan membaca buku-buku ilmiah dan menenangkan minda atau memberi motivasi membangun kepada seseorang. Tidak dapat dinafikan, budaya ini sememangnya lebih menguntungkan seseorang individu daripada membazir masa dengan membuat onar di atas jalan raya yang hanya merencatkan usaha kerajaan untuk lebih maju. Ibarat kata mutiara, masa itu ibarat emas, kita seharusnya membaca bahan bacaan yang bersifat positif dan menyumbang ke arah pembinaan jasmani dan rohani. Tidak salah membaca sesuatu yang berbentuk hiburan, dengan syarat bahan bacaan tersebut perlulah ditapis terlebih dahulu. Namun begitu, perkara yang membimbangkan penulis adalah apabila melihat keadaan perpustakaan yang lengang setelah tamatnya musim peperiksaan. Kita seharusnya sedar bahawa budaya membaca sebenarnya bukan melibatkan peperiksaan semata-mata yang diintegrasikan dengan niat mengejar aksara A dalam peperiksaan kemudiannya dibanggakan. Masa lapang seharusnya diisi dengan perkara yang berfaedah seperti membaca yang mampu menumpaskan amalan yang tidak berfaedah. Akhirnya, akan lebih ramailah individu yang memasuki universiti berbanding pusat serenti, seterusnya akan lebih ramailah manusia yang menjadi khalifah berbanding sampah serta pastinya akan lebih ramai generasi kita yang menjadi pejuang dan bukannya petualang. Tuntasnya, budaya membaca sememangnya mampu mengisi masa lapang dengan lebih berfaedah.
             
              Deduksinya, dalam mencapai kejayaan yang hakiki, amalan membaca seharusnya menjadi amalan masyarakat kita. Perlu penulis ingatkan, bahawa kita masih belum mampu melahirkan umat berjaya jika umat kita pada hari ini hanya membaca untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang semata-mata. Selain itu, umat kita belum mencapai tahap pembacaan yang bersifat holistik apabila bahan bacaan kita masih hanya berkait dengan bidang yang kita ceburi sahaja kerana tidak merentasi disiplin ilmu yang hakiki. Seeloknya, budaya membaca ini menjadi amalan kita tidak kira dalam apa jua situasi selaras dengan matlamat pembelajaran sepanjang hayat. Usaha murni kerajaan dalam memartabatkan amalan membaca seharusnya disokong 100%. Sesungguhnya, bangsa membaca ialah bangsa yang berjaya kerana ibarat kata Barbara Tuchman, seorang penulis dari Amerika Syarikat, “Buku ialah pengusung peradaban. Tanpa buku, sejarah menjadi sunyi, sastera menjadi bisu, ilmu pengetahuan lumpuh dan fikiran menjadi kaku.” Justeru, ayuh kita bersama mendarahdagingkan amalan ini dalam diri kita sendiri serta masyarakat sekeliling bagi menjamin masa depan yang cemerlang dan gemilang seterusnya melahirkan umat yang berfikiran kelas pertama dan bersikap positif.

Nota kaki:
Karangan ditulis pada tahun 2015. Penulis tidak bertanggungjawab terhadap sebarang perubahan format peperiksaan. Sebarang kesalahan tatabahasa boleh ditegur menerusi komen. Sila gunakan saluran yang tepat dan beradab sopan  (takkan Melayu hilang di dunia. Acecece..) sekali gus bersama penjelasan. Terima kasih :)

Thursday, November 3, 2016

World is totally hard

Kadang-kadang kita berusaha sekuat mungkin untuk lupakan sesuatu yang hantui kita dari masa silam. Kita cuba elak. Ya, orang lain takkan tahu bagaimana sakit, perit, pedihnya kita untuk lalui masa-masa silam dan nazak itu sehingga kita mampu sampai ke tahap ini. Penat. Lebih penat bila kita usaha lupakan, dan kita diingatkan lagi melalui orang sekeliling. Iya, mereka tak rasa. Bagaimana bertahun-tahun kita tahan sakit dan akhirnya kita memilih jalan yang paling sukar dalam hidup kita untuk lalui keperitan itu. Orang lain tak tahu.

Apa yang mereka mampu hanyalah berkata dan berkata. Dan pada saat itu kita hanyalah seorang manusia yang redha dan akur atas semua yang mereka perkatakan. Kita diam. Walaupun kadang-kadang kita tahu, tak semua yang mereka perkatakan itu benar. Tak semua perkara mereka tahu. Hakikat mereka hanya tahu 20% daripada 100% cerita sebenar. Pada saat itu, kita diam lagi. Bagaimana orang lain meneliti masa silam kita. Bagaimana orang lain menghukum sebarang perkara kita lakukan.

Kita ada silap kita. Tak semua perkara kita lakukan adalah benar. Tapi adakah wajar pada saat kita sudah berjaya melangkah ke hadapan, tinggalkan semua perkara menyakitkan di belakang, tapi pada akhirnya dibawa kembali. Orang lain lihat dan nampak senang. Tetapi mereka tidak pernah tahu bagaimana bertahun-tahun dan berhari-hari kita hadapi hari-hari itu. Sakit pedih itu. Kadang-kadang ia bukan soal siapa yang membawa kita ke arah kegelapan itu. Tidak kira orang yang kita sayang atau benci. Tapi bilamana ianya menyakitkan, ia akan terus menyakitkan. Trauma.


Walaupun ketika itu kita masih pada usia yang muda, tapi kita juga masih punya hati. Kita tahu bagaimana rasa sakit, benci dan takut. Kita tahu. Bukannya pada saat kita telah berusia baru kita punya rasa itu. Pada saat kita hilang barang yang kita sayang, mainan yang kita minta daripada ibu bapa kita, kita tak dapat. Bilamana kita bergaduh dengan kawan-kawan tadika berebut gula-gula dan kita tak dapat. Ia masih tetap satu rasa. Rasa daripada masa silam. Ia masih ada. Walaupun kadang-kadang kita rasa kita tak matang atas jalan yang kita pilih. Tapi ia masih tetap satu rasa, Dan kita punya perasaan. Kita masih tetap manusia yang punya hati.

Pada ketika itu, tak ada apa yang kita harapkan, Cuma satu perkara. Bagaimana kita berharap ada yang keluarkan kita daripada manusia manusia yang berkata sekeliling kita dan bagaimana kita berharap ada yang menemani kita bilamana kita takut untuk melalui hari hari mendatang. Bilamana kita meminta ada yang membawa kita jauh daripada masa silam yang kita cuba nak lari jauh-jauh. Bilamana ada yang bersama kita pada saat orang lain menghukum segala tindakan kita. Itu sahaja yang kita perlukan sebenarnya,

Tapi pada saat itu, kita takut lagi. Kita takut jika kita hilang orang-orang itu. Kita takut jika kita tidak jumpai orang-orang itu. Kita takut untuk lalui hari-hari esok. Kita takut. Takut. Ianya subjektif. Ianya bukan soal bagaimana kita rasa takut menonton filem-filem genre seram semata. Bukan soal pada saat kita lalui tempat-tempat gelap semata. Lebih daripada itu.

Semua orang punya masa silam. Tetapi ianya tentang sejauh mana kita menghormati memori dan jalan hidup mereka.. Itu jawapannya. Untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Payah. Susah. Sakit. Perit. Pedih. Ah, iya. Aku lupa. Tidak perlu dijelaskan. Mereka tidak tahu. Atau mungkin, mereka tidak dan takkan pernah tahu. Atau mereka tidak berkeinginan untuk faham.