Tuesday, July 18, 2017

Ke mana bunga kita?

“Ada benda yang kita tak nak jadi, tapi kita terpaksa terima. Ada perkara yang kita tak nak tahu, tapi terpaksa belajar. Dan ada perkara yang kita tak mahu hilang, tapi kita terpaksa lepaskan.” 
Iya, ada banyak hal terkadang yang tak sejajar dengan apa yang kita inginkan. Ada banyak perkara yang kita mahu, tapi kita terpaksa lupakan. Walau sekuat mana hati kita meronta, walau sekuat mana hati kita meraung, untuk ianya tetap berada di tempat yang kita mahu. Masih, ianya soal yang terbaik. Tak kira banyak mana yang kita mahu, tapi bilamana Tuhan kata ianya bukan yang terbaik, saat itu kita terpaksa terima. Terkadang kita usaha untuk menyimpan orang-orang yang kita sayang di sekeliling kita, tapi bilamana kita sedari begitu banyak luka yang kita torehkan pada orang yang kita sayang, pada saat itu, sekali lagi. Kita terpaksa lepaskan.

Bukan kerana jiwa dan hati kita yang mahu. Tetapi kerana kita masih punya akal yang bersatu dengan hati. Saat itu, kita hanya mampu menyimpan mereka dalam hati dan menyemat nama mereka dalam doa walaupun terkadang diiringi air mata. Sakit. Siapa kata tidak. Tetapi, bilamana itu hal yang terbaik, tak ada apa lagi yang mampu kita lakukan. Saat itu, penghubung kita hanyalah doa walau banyak mana jiwa kita meronta kesakitan.

Menyedari hakikat, makin hari, makin ramai yang tinggalkan kita, itu juga sakit. Lebih-lebih lagi orang-orang yang kita sudah menyemai baja dalam wilayah hati kita. Tiba-tiba, kemarau. Parah. Amat parah. Kering kontang jadinya wilayah hati itu. Suatu ketika dahulu, pernah aku kirimkan bunga-bunga daripada daerah cinta kita di wilayah hati. Barangkali, bunga yang aku kirimkan itu sudah mulai layu. Atau barangkali ianya masih hidup subur, namun menyedari hakikat cuaca yang tak menyebelahi takdir kita, kita merasa tiada gunanya lagi untuk menyiram, membaja.

Aku tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini walaupun aku sedar hakikatnya, kita yang lemah dan terlalu ambil mudah dalam menyiram dan menyemai. Bukan juga salah cuaca. Dia tidak meminta untuk berlakunya begitu. Dia tidak meminta untuk datangkan kemarau yang dahsyat buat daerah cinta kita. Buat cuaca, aku barangkali mengalah dengan kehebatan kamu. Kudrat yang aku punya tidak setanding kamu. Atau barangkali, kudrat yang aku punya kini sudah mulai jatuh sakit. Bukan salah kita dalam hal ini.

Pada saat itu, aku hanyalah jiwa-jiwa yang mendidik diri agar ikhlas dan redha. Barangkali bunga-bunga itu tidak tepat iklimnya. Iya, siapa tahu. Boleh jadi juga, aku yang silap dalam memilih tanaman. Barangkali aku tidak wajar menanam bunga akan tetapi padi. Walaupun, sejujurnya aku agak ambil hati dengan cuaca. Iya, walaupun bibir aku kata iya, aku maafkan, mana mungkin aku lupakan sebegitu sahaja. Sebagaimana sehelai kertas dironyokkan dan dibuka kembali takkan mungkin kembali sebegitu sahaja kepada asalnya begitu juga hati ini walaupun tiada dendam yang aku simpan. Aku bukanlah jiwa-jiwa yang mudah lupakan kesakitan sebegitu sahaja. Aku yakin, kamu juga begitu. Kiranya kamu cuba meletakkan diri kamu dalam kasutku, aku yakin kamu turut merasa hal yang sama. Bilamana berusaha aku membeli benihnya, penat lelah kami bina batasnya, akhirnya dek kerana cuaca, bunga-bunga itu kian layu. Ah, jangan nafikan.

Pada ketika itu juga, aku cuma mampu berdoa, andai saja, aku jadi cuaca, moga aku usaha untuk tidak merosakkan tanaman-tanaman dunia ini. Andai saja takdir aku satu ketika nanti ialah cuaca, moga-moga aku tidak menyemarakkan kemarau buat wilayah hati yang lain .Suatu hari nanti, andai jantungku, degupnya sudah tidak sama, ketahuilah, hati aku sudah mengikhlaskan segalanya. Moga sahaja, kisah buku kita, tidak perlu dibuka kembali di mahsyar nanti. Takut. Resah. Berpenat lelah di sana sedangkan jiwaku sudah berpenat lelah untuk hal ini di sini.

            Dan kamu. Iya, kamu. Aku tahu, tidak mudah juga hal ini buatmu. Sukar dan sakit bila usaha kita hancur. Harapan kita berderai melihat wilayah ini penuh dengan hasil bunga yang kita tanam. Namun hari ini, walau sekuat mana aku meronta, dalam sujudku, dalam doaku, aku bukan lagi mereka yang turut menyebut namamu dalam doaku buat bunga-bunga kita seperti biasa. Aku tidak lagi menyebut nama kita dan wilayah hati kita agar bunga-bunganya yang kita suka hidup subur yang kononnya mampu indahkan satu wilayah ini. Aku tidak lagi berdoa agar kita semakin gigih dan rajin menyemai baja buat bunga-bunga kita. Tetapi, aku berdoa agar andai benar bunga-bunga kita pantas untuk hidup, wajar untuk menguntum mekar, maka biarlah kita menjadi pengusaha yang rajin berusaha, senyum dan saling menguatkan buat bunga-bunga kita kelak. Mungkin musimnya tidak tepat buat kita menanam bunga.


Oh ya, kau lihat sungai di hujung sana? Airnya juga kembali merah dicemari darah-darah luka.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment