Sunday, July 2, 2017

Sentap - Kau Hulur atau Campak?

“Kenapa dah tak banyak menyentap?”

Jika dan hanya jika kau tahu, dan faham Bahasa Melayu yang sebenar, sentap itu ialah cara kau menerima benda itu. Tetapi, aku tak nafikan sentapan-sentapan yang disengajakan dengan niat untuk tusuk orang dan jatuhkan orang (dan ini ialah medan dakwah yang gagal sebenarnya bagi aku). Tapi untuk kau yang menerima, aku boleh kata, kau sentap, itu hati kau. Hati kau yang masih punya iman, jiwa kau yang masih hidup. Tak kira tazkirah dan ilmu itu datang dalam bentuk apa. Lembut atau kasar.

Aku kurang menyentap kerana sekarang aku lebih suka menghulur daripada mencampak. Diskusi malam ini buatkan hati aku tergerak untuk sampaikan apa yang hati aku pendam selama ini. Iman itu bukan diukur melalui sentapan demi sentapan yang kau campak. Ianya bukan soal kopiah, jilbab labuh atau niqab. Hanya kerana kau yang berkopiah yang tunjuk aib kau pada masyarakat, hanya kerana selfie kau yang merata-rata tetapi berniqab, manusia lain yang perangai tak seperti kau terpaksa tanggung kutukan dan tohmahan orang lain. Niqab yang selama ini Muslimat pakai untuk menutup, untuk elak tarik perhatian orang itu yang menarik mata dan jiwa.

Oh ya, soal niqab, aku ulas sedikit. Ianya bukanlah pemakaian yang wajib bagi muslimat (aku yakin kau juga tahu, aurat wanita kesemua tubuh kecuali muka dan tapak tangan). Dalam konteks ketamadunan Islam, Islam menerima mana-mana hal, budaya dan tradisi selagi mana ianya tidak menyimpang dan bercanggah dengan syariat. Kemunculan niqab dan burqa’ adalah ketika berlakunya penghijrahan Rasululullah dan para sahabat dan ketika itu, ianya diterima dalam tamadun Islam. (Tiba-tiba rasa subjek agama CTU 151 aku di kampus, berguna bukan soal ilmu atas buku semata).

Maka soal niqab dan burqa’ nyatanya sekali lagi buat aku bingung. Melayu Islam sahajakah yang begini? Malaysia sahajakah yang begini hingga kadang-kadang aku rasa ingin mencari Islam itu di negara lain. Iya, 4 tahun lebih aku dalam kelompok golongan huffaz. Setahun dengan golongan bukan huffaz, cukup membuka mata aku. Bagaimana seorang yang alim, rajin ke masjid, rajin turun usrah, tapi nyatanya kutuk kau di belakang, buat liqa’ untuk umpatan demi umpatan, hukum kau itu ini, buta untuk 99 kebaikan kau tapi canang 1 keburukan kau. Akhirnya, cari silap yang lain pula, tak masuk tokok-tambah perasa cerita biar nampak gempak. Aku nampak bezanya.

Teramat berbeza dengan mereka yang di luar. Bilamana orang di luar sana, nampak orang lain khilaf sekejap, buat masalah sikit, mereka pimpin. Mereka capai tangan dan mereka pimpin. Mereka bagitahu itu ini salah. Kenapa itu ini salah. Jangan buat lagi yang salah itu. Kelu. Mana satu Islam sebenar bila mereka sedang leka menghukum sedangkan masyarakat di luar bersungguh menunjukkan contoh-contoh tauladan agar menjadi ibrah (contoh) untuk orang lain. Sekali lagi, aku bingung.

Untuk soalan kenapa aku tak memilih jalan sentapan. Aku tak nafikan usaha mereka itu merupakan kaedah dan jalan yang relevan dan efektif. Tapi itu bukan lagi jalan aku. Bukan kerana aku berubah drastik. Ah, aku tahu, kau lihat aku bagaimana. Bukan kerana aku sekular, bukan kerana aku liberal. Tapi, diskusi malam ini, aku konklusikan sebagai satu kesyukuran. Bilamana aku sedar aku keluar dari kelompok yang konon Islamik, yang banyak hukum orang lain tanpa percaya kebarangkalian untuk seorang yang jahil menjadi lebih suci dan warak untuk masa akan datang itu tinggi, aku bahagia. Kami bahagia.

Aku nampak Islam dan dunia itu dari sudut pandangan yang berbeza. Aku terima semua orang seadanya. Aku mula faham, tak semua orang datang dari keluarga Sheikh, Syed, ustaz, ustazah, Ustazah Limah kelas mengaji, Haji Hashim kelas tarannum ataupun Pakcik Lebai bilal surau kampung tercinta. Dan atas perbezaan latar belakang itulah perlu saling ingat, saling sokong dan saling pimpin kawan kau supaya dia boleh pimpin keluarganya. Bukannya untuk saling jatuhkan.  Bukan untuk saling bertanding siapa lagi power menyentap (yang sebenarnya siapa yang lagi power menjatuhkan). Aku percaya, kau pun tahu bagaimana kitaran sekadar sentap tapi tak terdorong bukan? Ah, jangan cuba nafikan.

Oh ya, satu lagi, kalau kau dakwah, kau menyentap, tapi orang tak terima. Kadang-kadang bukan sebab hati orang lain keras. Betulkan niat kau dan baiki diri kau kemudian tengok, orang boleh terima atau tidak. Ini adalah yang paling sukar untuk aku sebenarnya sebab aku sangat percaya, definisi dakwah bukan untuk menghukum, tapi untuk buka mata orang lain dan mengajak setelah menyeru (dakwah). Mad’u (yang didakwah) dapat point atau tidak. Aku bukan hamba yang sempurna dan mungkin sewaktu aku tulis ini juga aku khilaf. Ada buruk cacat celanya. Tetapi, aku juga hamba yang sedang berusaha. Berusaha mengirim cinta Dia melalui utusan-utusan kecil di laman sosial dengan harapan andai aku dah tak punya nyawa, masih ada yang mampu membaca dan menerima ilmu-ilmu menerusi cacatan kecil itu. Bukan kerana aku alim atau warak. Paling kurang, aku usaha setelah aku ucapkan dua kalimah syahadah itu.

” Jika hijrah buat kau merasa tinggi daripada orang lain, hukum sana-sini. Semak balik. Kau sembah Allah atau ego kau. Tak apa je kalau kau pandang syurga sebelah kau, tiada siapa peduli. Cumanya orang akan peduli, jika kau pandang orang yang belakang seolah-olah mereka neraka. Bukanlah salah penghijrahan kau. Tapi barangkali niat mujahadah kau menyimpang.”


Moga Allah redha.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment